NIKAH SYUBHAH

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

Pernikahan merupakan peristiwa penting dalam sesebuah kehidupan manusia yang menginap di bumi Allah S.W.T. Akibat daripada pernikahan tersebut akan melahirkan zuriat-zuriat sebagai penyambung umat Nabi Muhammad S.A.W sehingga hari kiamat. Walaubagaimanapun perlu diperhatikan sedalam-dalamnya adakah pernikahan seseorang itu sah, tidak sah (fasid), pernikahan syubhah akan membawa kesan kepada persetubuhan syubhah.

“Persetubuhan syubhah” bermaksud persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan bahawa akad nikah yang dilakukan adalah sah. Akan tetapi, hakikatnya akad nikah tersebut adalah tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuklah mana-mana persetubuhan yang tidak boleh dihukum Had dalam Islam. Antara contoh-contoh nikah syubhah adalah seperti berikut:-

 

  •  Pernikahan tanpa melibatkan wali pengantin perempuan, kerana menyangka hal tersebut diperbolehkan (iaitu nikah syubhah menurut jumhur ulama yang mensyaratkan izin wali)
  •  Penikahan dengan seorang wanita yang ternyata masih berstatus isteri orang, kerana tidak tahu dan menyangka bahawa wanita tersebut sudah diceraikan.
  • Seorang wanita yang telah ditinggalkan lama oleh suaminya tanpa ada sebarang khabar yang mana Mahkamah Syariah belum mensabitkan perceraian ke atas wanita tersebut.
  • Pernikahan dengan wanita yang masih dalam tempoh ‘iddah.
  • Pernikahan dengan wanita yang kelima (poligami hanya membenarkan 4 sahaja).
  • Pernikahan dengan wanita yang ada hubungan mahram, seperti saudara sesusuan atau wanita yang pernah dinikahi oleh ayahnya.

 

Sebagai kesimpulannya, sebuah hubungan yang ada unsur-unsur syubhah seperti menjima’ wanita yang telah menjadi isteri akibat dari pernikahan yang fasid hukumnya adalah tidak termasuk zina. Perkara syubhah yang dilakukan tidak akan menyebabkan hukuman had kerana had tidak akan dikenakan apabila terdapat unsur-unsur syubhah. Walaubagaimanapun, ada beberapa perkara syubhah akan menyebabkan ta’zir, seperti menikahi seorang wanita yang sememangnya haram dinikahi tidak boleh dijadikan sebagai alasan syubhah.

Bagi seseorang wanita yang telah dijima’ secara syubhah wajib menjalani masa ‘iddah seperti ‘iddah talak. Sekiranya hasil hubungan pernikahan syubhah atau fasid melahirkan zuriat, maka kedudukan nasab anak wathi’ syubhah tersebut tetap kepada bapa. Anak wathi’ syubhah tersebut layak menggunakan nama bapanya sebagai nasab. Mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, Seksyen 114 menyatakan:-

 

“Jika seseorang lelaki melakukan perkahwinan syubhah dengan seorang perempuan, dan kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu”

HUBUNGI KAMI

 

 

 

 

No 1, 1st Floor, Susuran Senangin,

Pusat Perniagaan Shahab Utama,

Lebuhraya Sultanah Bahiyah,

05350 Alor Setar, Kedah

 04-7327003/7005           

 +60133488905

 assacio13@gmail.com

 

 

©2026 Adilah Salleh Associates. All Rights Reserved.

Search